KUALA LUMPUR: Politik identiti tidak sepatutnya dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali sesebuah parti mengalami kekalahan pilihan raya kerana elemen kaum dan wilayah sememangnya menjadi sebahagian daripada realiti politik Malaysia, kata penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Zaini Othman.
Beliau menegaskan, politik identiti bukanlah sesuatu yang asing atau bercanggah dengan sistem demokrasi negara, malah ia terbentuk daripada struktur Persekutuan Malaysia yang mengiktiraf kepelbagaian kaum, budaya dan identiti negeri.
“Kaum adalah sebahagian daripada nilai politik kita. Malaysia ialah sebuah negara persekutuan dan sentimen seperti ‘Sabah for Sabah’ serta ‘Sarawak for Sarawakians’ sudah lama wujud dalam landskap politik negara,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) di Universiti Malaya.
Menurut beliau, sebarang usaha untuk menolak atau menghapuskan identiti tersebut hanya akan mencetuskan reaksi negatif kerana ia berkait rapat dengan sejarah pembentukan negara serta aspirasi masyarakat di setiap wilayah.
Pandangan itu hadir ketika perdebatan mengenai peranan politik identiti semakin hangat susulan keputusan PRN Negeri Sembilan yang menyaksikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Selepas keputusan itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendakwa kempen berteraskan sentimen kaum dan agama yang dimainkan lawan menjadi antara faktor utama gabungan berkenaan kehilangan sokongan pengundi.
Namun, dakwaan tersebut turut dipersoalkan oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming, yang berpendapat tidak adil untuk hanya menyalahkan politik identiti apabila PH sendiri pernah mendapat kelebihan daripada naratif sama dalam pilihan raya terdahulu.
Beliau berpandangan semua parti politik perlu lebih bermuhasabah terhadap pendekatan dan strategi kempen masing-masing, berbanding menjadikan isu politik identiti sebagai alasan utama setiap kali keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka.
Isu politik identiti kembali menjadi tumpuan sejak beberapa siri pilihan raya kebelakangan ini apabila sentimen berkaitan kaum, agama dan wilayah dilihat semakin mempengaruhi corak pengundian, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Perbahasan mengenai perkara itu semakin memuncak selepas keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, apabila pelbagai pihak berbeza pandangan sama ada faktor identiti atau isu kos sara hidup serta prestasi kerajaan lebih dominan dalam menentukan sokongan rakyat.










