Warga Singapura Akan Didakwa Selepas Diusir Dari Malaysia, Susulan Muat Naik Video Hina Islam

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 27 tahun dijadualkan didakwa di mahkamah Singapura hari ini, selepas disyaki memuat naik video di media sosial yang mengandungi kenyataan menghina masyarakat Islam.

Menurut Polis Singapura, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 1 Mac lalu.

Bagaimanapun, siasatan mendapati suspek telah meninggalkan republik berkenaan sebelum laporan dibuat.

Lelaki terbabit diusir dari Malaysia semalam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ditahan sebaik tiba di Singapura, lapor The Straits Times.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut memaklumkan lelaki berkenaan sedang membantu siasatan berhubung satu lagi video yang memaparkan individu dipercayai memijak al-Quran.

Menurut The Straits Times, lelaki itu dipercayai merupakan individu yang sama dalam rakaman berkenaan, yang dipercayai dirakam ketika berada di dalam sebuah bas awam di Singapura.

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, Polis Singapura mengeluarkan lima arahan kepada Meta bagi menyekat akses pengguna di Singapura terhadap kandungan berkenaan yang dimuat naik di platform media sosial kendaliannya.

Polis menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama, serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan sedemikian.

BBerkaitan

Latest articles