‘Saya Kekal Anggota KEADILAN’

​KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau akan terus kekal sebagai anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meskipun mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta-merta.

​Beliau berkata, keputusan melepaskan jawatan nombor dua parti itu dibuat selepas pertimbangan mendalam bagi membolehkannya menumpukan perhatian untuk mengorak langkah baharu dengan melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

​Menurutnya, sokongan terhadap agenda perjuangan parti di bawah pimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berbelah bahagi.

​”Saya akan terus kekal sebagai anggota KEADILAN, memberikan sokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepimpinan parti di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim beserta akar umbinya.

​”Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

​Dalam kenyataan sama, Nurul Izzah turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti kerana mengambil maklum keputusan berkenaan.

​Mengulas mengenai kepimpinan parti susulan peletakan jawatannya, beliau meletakkan keyakinan penuh kepada Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.

​Pada masa sama, beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menggalas amanah parti dengan kebijaksanaan demi memikul harapan rakyat.

​”Kepada seluruh anggota KEADILAN, pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus,” ujarnya.

​Nurul Izzah mengesahkan bakal menghadiri Kongres Nasional KEADILAN yang dijadualkan berlangsung pada 14 dan 15 Ogos ini.

BBerkaitan

Latest articles