Jalaluddin Nafi Komplot Gugat MB, Institusi Diraja Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan beliau tidak pernah mempunyai sebarang agenda untuk menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan mahupun menggugat institusi diraja negeri itu seperti didakwa pihak tertentu.

Menurut beliau, tuduhan berkenaan tidak berasas memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan telah berakhir dengan kemenangan Barisan Nasional (BN), sekali gus mencapai matlamat utama parti untuk kembali menerajui pentadbiran negeri.

Jalaluddin berkata, beliau sendiri tidak memegang jawatan Menteri Besar dan sebelum ini telah menyatakan pendirian untuk tidak menerima sebarang pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Pilihan raya sudah selesai. Saya bukan Menteri Besar dan saya juga sudah menyatakan tidak mahu memegang jawatan Exco.

“Jadi apa lagi masalahnya? Mengapa saya terus dituduh? Jika benar dakwaan itu, tunjukkanlah bukti,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau mengulas dakwaan yang mengaitkannya dengan usaha memaksa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menandatangani dokumen kononnya bagi menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas isu penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, Jalaluddin menjelaskan tindakan tersebut dibuat kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan negeri ketika itu, khususnya susulan krisis membabitkan institusi adat.

Beliau menegaskan tidak masuk akal untuk dirinya cuba menjatuhkan kerajaan yang diperjuangkannya sendiri sehingga berjaya mengambil alih pentadbiran negeri.

“Tidak mungkin saya mahu meruntuhkan kerajaan yang saya perjuangkan selama ini. Saya bersyukur kerana hasrat melihat BN kembali memimpin Negeri Sembilan akhirnya tercapai. Itulah matlamat utama saya,” katanya.

ADUN Pertang itu turut mengulangi pendiriannya menerima keputusan parti yang memilih Ismail sebagai Menteri Besar dengan hati terbuka serta menyeru semua pihak memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu negeri.

Beliau berkata, selepas kerajaan dibentuk, semua pihak sewajarnya memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing demi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.

Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi. Kerjasama kedua-dua gabungan itu membolehkan kerajaan negeri dibentuk dengan majoriti dua pertiga.

Sepanjang tempoh berkempen, nama Jalaluddin antara yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar. Bagaimanapun, jawatan itu akhirnya diberikan kepada ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim.

Sebelum ini, Jalaluddin juga menafikan dakwaan beliau memboikot majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar, sebaliknya menjelaskan jemputan ke istiadat berkenaan hanya diterimanya pada saat akhir.

BBerkaitan

Latest articles