ALOR GAJAH: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengutamakan rundingan dan mengelakkan kenyataan beremosi yang boleh menjejaskan usaha membina persefahaman politik antara BN dan PN.
Menurutnya, sebarang isu yang timbul seharusnya diselesaikan di meja rundingan, bukannya diperdebatkan secara terbuka sehingga memberi kelebihan kepada pihak lawan.
“Kita belum berunding, jangan terbawa-bawa dengan kenyataan begitu. Bertepuk tanganlah Pakatan Harapan (PH) apabila mendengarnya.
“Jangan buat kenyataan tanpa rundingan. Bersabar dahulu. Pilihan raya mungkin bulan Oktober atau November, sekarang baru Ogos, jangan bergaduh terlalu awal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah, hari ini.
Turut hadir, EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan EXCO berkenaan, Datuk Zahari Khali.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kejayaan kerjasama BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan membuktikan pendekatan rundingan mampu menghasilkan keputusan yang positif dan wajar dijadikan contoh untuk menghadapi PRN Melaka.
Katanya, pada pilihan raya itu, BN bertanding di 25 kerusi manakala PN bertanding di 11 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum kedua-dua gabungan berjaya membentuk kerajaan negeri.
“Kita amat gembira dengan kesepakatan yang dicapai pada PRN Negeri Sembilan. Apa juga perkara yang tidak baik sebelum ini, kita tinggalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil yang menyifatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘tamak’ selepas menegaskan BN tidak akan melepaskan mana-mana daripada 21 kerusi DUN yang dimenanginya di Melaka sekiranya kerjasama politik diteruskan.
Susulan kenyataan itu, Isham yang kini dilihat mesra dengan PAS turut menggesa PN bertanding menentang BN bagi membolehkan Melaka dikuasai gabungan berkenaan.
Mengulas perkara itu, Ahmad berkata pendirian BN untuk mempertahankan 21 kerusi tidak bermakna ruang rundingan sudah tertutup kerana masih terdapat baki kerusi yang boleh dibincangkan antara kedua-dua gabungan.
“Jika BN bertanding di 21 kerusi yang dimenangi sebelum ini, masih ada tujuh kerusi lagi yang boleh dirundingkan. Semuanya bergantung kepada hasil perbincangan,” katanya.










