Suami Isteri ‘Hilang’ Sejak 20 Julai Ditahan Polis, Disyaki Terkait Hutang Duit Kutu

JITRA: Misteri kehilangan pasangan suami isteri yang dilaporkan gagal dikesan sejak 20 Julai lalu akhirnya terungkai apabila kedua-duanya menyerah diri kepada polis awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pasangan berusia 39 dan 36 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira jam 1.50 pagi.

Menurut beliau, kedua-duanya dijangka dibawa ke Mahkamah Jitra pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, kehilangan pasangan terbabit bersama anak mereka yang berusia sembilan tahun mencetuskan tanda tanya selepas mereka dilaporkan keluar dari kediaman di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai sebelum gagal dihubungi.

Kehilangan itu mendorong bapa kepada wanita berkenaan, 62, membuat laporan polis selepas tidak berjaya mengesan anak perempuan, menantu dan cucunya.

Dalam perkembangan berkaitan, polis sebelum ini memaklumkan menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian RM25,000 dipercayai akibat urusan duit kutu membabitkan wanita berusia 36 tahun itu.

Mohd Radzi berkata, siasatan awal mendapati kehilangan pasangan terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan isu hutang duit kutu.

Bagaimanapun, polis memaklumkan anak pasangan berkenaan yang berusia sembilan tahun masih belum ditemui dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles