IPOH: Misteri kematian seorang penghuni sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan di sini membawa kepada penahanan lima individu selepas mangsa ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang Selasa selepas dimaklumkan oleh Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan berhubung kematian seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan awal.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan, sekali gus menimbulkan unsur jenayah.
“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Mohd Alwi, lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada seorang penjaga serta empat penghuni rumah jagaan berkenaan.
Katanya, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa, termasuk peranan setiap individu yang ditahan dalam kejadian itu.
Beliau pada masa sama menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan polis.










