SEREMBAN: Dakwaan kononnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) akan menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan disangkal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman yang menegaskan perkara itu tidak pernah dibincangkan.
Menurut beliau, sekiranya cadangan berkenaan benar-benar wujud, ia sewajarnya terlebih dahulu dibawa untuk perbincangan bersama semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat mentadbir negeri selepas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).
Saiful berkata, sehingga kini tiada sebarang rundingan atau perbincangan dibuat berhubung penyertaan mana-mana ADUN PH dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Jika perkara itu benar, sudah tentu ia akan dibincangkan terlebih dahulu bersama wakil rakyat BN yang memenangi PRN16. Namun sehingga hari ini, perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya tidak terus menyebarkan spekulasi yang boleh mengelirukan rakyat, sebaliknya memberi ruang kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Saiful berkata, keputusan rakyat pada PRN16 perlu dihormati dan tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha membangunkan Negeri Sembilan, bukannya terus mencetuskan polemik politik.
“Rakyat Negeri Sembilan telah membuat pilihan. Kini masanya untuk kita bekerja demi kepentingan negeri dan bukannya membuang masa dengan permainan politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan di media sosial bahawa beberapa ADUN PH berkemungkinan akan menyertai pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ismail.
Semalam, Ismail memaklumkan senarai penuh barisan EXCO Negeri Sembilan kini di peringkat akhir pemuktamadan, dengan pengumuman dijangka dibuat selewat-lewatnya Jumaat ini atau pada Isnin depan.










