SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menafikan dakwaan kononnya terdapat rundingan untuk membawa Pakatan Harapan (PH) menyertai pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang kini diterajui gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Wakil rakyat BN itu menegaskan, sehingga kini tiada sebarang perbincangan diadakan berhubung penyertaan PH dalam kerajaan negeri yang dibentuk hasil persefahaman antara BN dan PN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Berkenaan isu ada ura-ura perbincangan membawa PH dalam kerajaan, saya ingin menegaskan, langsung tiada perbincangan. Titik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa PH berkemungkinan diberi ruang menyertai pentadbiran negeri menerusi pembentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang masih dalam proses rundingan.
Memetik sumber, laporan berkenaan mendakwa antara cadangan yang sedang diperhalusi ialah melibatkan wakil PH dalam pentadbiran negeri sebagai usaha mewujudkan kerajaan yang lebih inklusif di samping memperkukuh kestabilan politik.
Bagaimanapun, penjelasan Asna dilihat menutup spekulasi tersebut dengan menegaskan tiada sebarang rundingan ke arah itu pernah berlangsung.
Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, BN berjaya memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus memberikan gabungan itu majoriti mudah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada PH.
PH pula hanya memenangi 11 kerusi, selain menyaksikan dua pemimpin utamanya, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, tewas di kerusi masing-masing.
Susulan keputusan itu, ADUN Juasseh, Datuk Ismail Lassim, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu bagi menggantikan Aminuddin.










