Ada Usaha Bawa PH Bentuk Kerajaan N. Sembilan? Ini Respon Chegu Bard

​SEREMBAN: Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan mendakwa wujud gerakan serta usaha pihak luar kerajaan untuk membawa Pakatan Harapan (PH) sertai pembentukan kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos lalu.

​Penyelaras Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang spekulasi atau laporan berita semata-mata.

​”Berdasarkan maklumat yang ada, memang ada usaha luar kerajaan untuk turut membawa Pakatan Harapan dalam membentuk kerajaan, namun harap semua tidak terpedaya dengan hanya tajuk berita.

​”Mandat dan harapan rakyat tidak akan dikhianati. Namun, membina sebuah kerajaan kukuh dan stabil demi semua anak Negeri Sembilan menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

​Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada pimpinan parti teras serta rakan gabungan bagi menguruskan proses pembentukan kerajaan mengikut lunas undang-undang dan adat.

​”Tahniah kepada Datuk Ismail Lasim kerana terpilih menjadi Menteri Besar, tetapi perlu diingatkan proses ini belum selesai.

“Pelantikan Menteri Besar bukan sahaja acara angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Besar, tetapi berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (1959), pelantikan tersebut perlu diperkenan YTM Datuk Undang Berempat.

​”Isu ini perlu diurus dengan baik kerana kegagalan dan tindakan khianat Datuk Seri Aminuddin Harun dalam mengurus isu pemerintahan adat ini adalah penyebab utama beliau dan Pakatan Harapan ditolak.

“Insya-Allah, kerajaan Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN) menginsafi perkara itu dan tidak akan melakukan perkara sama,” tegasnya.

​Mengulas lanjut mengenai hala tuju pembentukan kerajaan baharu, Chegu Bard memohon agar ruang secukupnya diberikan kepada parti terbesar dan rakan gabungan untuk memuktamadkan pembentukan pentadbiran negeri.

​”Sementara itu, berilah ruang kepada Datuk Ismail Lasim dan Umno selaku parti terbesar yang mendapat sokongan rakyat untuk menyelesaikan perkara ini.

“Di samping itu, Perikatan Nasional selaku rakan membentuk kerajaan juga seharusnya dikongsi tindakan,” katanya.

​Beliau menambah, Wawasan Negara Negeri Sembilan kini memantau rapat serta terlibat secara aktif di pelbagai peringkat bagi memastikan kekusutan politik dapat dilerai secara matang.

​”Insya-Allah, Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan sedang mengikuti secara dekat, malah terlibat di beberapa peringkat dalam mengurus pelbagai isu berbangkit.

​”Terima kasih kepada semua pengundi dan pelbagai pihak yang terlibat dalam pelbagai bentuk sehingga keputusan pilihan raya 1 Ogos dicapai. Yang penting kini, kerajaan stabil perlu dibentuk segera dan permasalahan serta kekusutan sebelum ini perlu dilerai dalam kematangan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles