Warga Malaysia Ditahan Di Surabaya, Sorok Hampir 1kg Syabu, Lebih 1,000 Pil Ekstasi Dalam Korset

JAKARTA: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai cuba menyeludup hampir satu kilogram (kg) syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi dengan menyembunyikan dadah itu di bawah korset yang dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.

Suspek yang dikenali dengan inisial DI diberkas di Terminal 2 sejurus tiba menaiki penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, menurut pihak berkuasa Indonesia pada Isnin.

Hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan mengandungi 990 gram methamphetamine serta empat lagi bungkusan berisi 1,089 pil ekstasi yang disorok di bawah korset yang dililit pada badan suspek bagi mengelak dikesan ketika pemeriksaan keselamatan.

Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, taktik digunakan suspek bagaimanapun gagal apabila pegawai berjaya mengesan dadah berkenaan.

Siasatan awal mendapati DI mengaku bersetuju menjadi penghantar untuk sindiket pengedaran dadah antarabangsa kerana berdepan masalah kewangan dan dibebani hutang.

Pihak berkuasa menganggarkan nilai rampasan mencecah Rp2.79 bilion (kira-kira RM715,000) dan percaya kejayaan itu berjaya menghalang bekalan dadah daripada sampai kepada lebih 6,500 pengguna.

Suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada penyiasat Polis Sidoarjo bagi tindakan lanjut serta membantu mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai terlibat.

Jika disabitkan kesalahan, DI berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati mengikut undang-undang Indonesia.

Kes itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia.

Dalam kes berasingan itu, juruterbang berusia 41 tahun yang dikenali sebagai MS ditahan pada 28 Julai selepas pemeriksaan kastam menemui 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram serta 2.7 gram syabu dalam bagasinya.

Menurut pihak berkuasa, MS mendakwa diupah RM50,000 untuk membawa dadah tersebut ke Jakarta dan mengaku pernah melakukan dua operasi penyeludupan dadah sebelum ini, termasuk menghantar syabu ke Sabah dan Jakarta.

BBerkaitan

Latest articles