Najib Cabar Siasatan Kroll Dalam Saman 1MDB, Persoal Jejak Semula Dana AS$620 Juta

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Razak hari ini mencabar kredibiliti siasatan firma Kroll Advisory Ltd dalam perbicaraan saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan mempersoalkan kegagalan penyiasatnya mengesan sama ada dana berjumlah AS$620 juta yang dipulangkan ke Tanore Finance Corporation akhirnya disalurkan semula kepada bekas perdana menteri itu.

Semasa pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal Pengarah Siasatan Kroll Advisory Ltd, Richard Templeman, mengenai skop siasatannya terhadap aliran wang berkenaan yang dipindahkan semula daripada akaun AmBank milik Najib ke Tanore pada Ogos 2013.

Templeman mengakui beliau tidak mengetahui sama ada dana itu kembali kepada Najib, namun menegaskan siasatannya tertumpu kepada isu-isu yang berkaitan dan beliau tidak pernah membuat dakwaan sedemikian.

Shafee berhujah bahawa persoalan sama ada wang tersebut akhirnya disalurkan semula kepada Najib merupakan isu penting yang sepatutnya disiasat secara menyeluruh oleh seorang penyiasat penipuan.

Dalam prosiding sama, Shafee turut membangkitkan dakwaan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun Najib ketika itu telah mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, Templeman berkata perkara itu tidak termasuk dalam skop siasatannya dan beliau tidak pernah meneliti dokumen berkaitan.

Peguam itu kemudian mencadangkan Templeman tidak menyiasat secara menyeluruh kemungkinan Najib tidak melakukan sebarang salah laku kerana hanya bergantung kepada naratif yang telah ditetapkan, namun dakwaan tersebut dinafikan saksi berkenaan.

Shafee turut mempersoalkan pelantikan Templeman yang hanya bermula pada Julai 2021, iaitu dua bulan selepas 1MDB memfailkan saman sivil terhadap Najib, sekali gus mencadangkan beliau dibawa masuk bagi menyokong tuntutan yang telah difailkan.

Templeman mengakui saman itu telah difailkan sebelum siasatannya bermula, namun tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Templeman berkata sejumlah AS$681 juta dipindahkan ke akaun AmBank milik Najib pada Mac 2013, termasuk AS$620 juta dan AS$61 juta daripada Tanore Finance Corporation.

Pada 26 Ogos tahun sama, sebanyak AS$620,010,715 dipindahkan semula ke akaun Tanore.

1MDB dan empat anak syarikatnya memfailkan saman sivil pada 7 Mei 2021 bagi menuntut semula kira-kira AS$5.64 bilion yang didakwa diseleweng, dengan Najib serta beberapa bekas pegawai kanan syarikat itu dinamakan sebagai defendan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Redzuan Idrus dijadual bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles