KUALA LUMPUR: Pelaksanaan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya berikutan tempoh bertenang perlembagaan selama lapan tahun kini telah tamat.
Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu berkata, kelonggaran mengikut perundangan itu merupakan satu-satunya jendela undang-undang yang ada untuk merombak sempadan kawasan pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berlangsung.
Menurut beliau, langkah tersebut amat penting bagi membetulkan jurang ketidakseimbangan undi yang begitu ketara susulan pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran jutaan pengundi baharu secara automatik.
”Ia kritikal bagi memulihkan legitimasi pilihan raya, menegakkan prinsip ‘satu orang, satu undi’ selain menstabilkan landskap politik negara.
”Langkah ini juga adil kerana mampu meratakan medan persaingan untuk semua parti politik dan seterusnya menghapuskan bias struktur yang sudah lapuk,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Ronnie menegaskan, sekiranya proses persempadanan baharu tidak dilaksanakan, PRU16 bakal dijalankan menggunakan sempadan lama yang membawa kepada nilai undi tidak saksama antara kawasan.
Jelas beliau lagi, sistem pilihan raya di negara ini sepatutnya diasaskan kepada prinsip demokrasi yang saksama dan bukannya bersandarkan geografi pilihan raya yang usang.
”Persempadanan semula ini bukanlah untuk memberi keuntungan kepada mana-mana parti politik tertentu, sebaliknya ia merupakan hak asasi yang perlu diberikan kepada setiap pengundi,” ujarnya.










