SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menolak dakwaan bahawa pelantikannya ke jawatan itu dipengaruhi pihak luar, sebaliknya menegaskan segala proses dilakukan mengikut tatacara yang ditetapkan.
Mengulas kenyataan Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan (WAWASAN), Tan Sri Rais Yatim, Ismail berkata dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak mencerminkan proses sebenar pelantikannya sebagai Menteri Besar.
“Saya tidak begitu mengikuti apa yang tersiar di media sosial, tetapi saya yakin semua tatacara telah dipatuhi dengan betul dan dakwaan beliau itu tidak tepat.
“Selain itu, saya tiada komen,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail memaklumkan keputusan sama ada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias akan menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin berkenaan.
Menurut beliau, sehingga kini belum ada perbincangan terperinci diadakan dengan Jalaluddin berhubung perkara itu.
“Beliau juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang. Jadi terpulang kepada pendirian beliau sama ada mahu menganggotai EXCO atau sebaliknya,” katanya.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa Jalaluddin tidak akan menawarkan diri untuk menyertai barisan EXCO negeri.
Semalam, Jalaluddin yang juga ADUN Pertang menegaskan beliau tidak berhasrat menawarkan diri sebagai EXCO, sebaliknya mahu memberi ruang kepada pemimpin lain untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Beliau turut menegaskan pelantikan anggota EXCO merupakan hak prerogatif Menteri Besar.










