BERSATU Terima Kekalahan PRN Negeri Sembilan, Sedia Pertimbang Gabungan Baharu

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) selepas diberikan mandat membentuk kerajaan Negeri Sembilan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, parti itu turut menyatakan penerimaan terhadap keputusan pengundi Negeri Sembilan yang memberikan sokongan kepada calon-calonnya di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi menggunakan logo sendiri.

Menurut beliau, PRN16 menjadi medan pertama buat BERSATU bertanding sepenuhnya menggunakan simbol parti tanpa bergantung kepada mana-mana pihak lain, sekali gus menyifatkan keputusan itu sebagai satu pengalaman penting untuk memperkukuhkan perjuangan parti.

“Keputusan di Negeri Sembilan menuntut BERSATU mengambil tindakan berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, memperkukuh gerak kerja serta membawa agenda perubahan yang mampu memberi manfaat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Azmin berkata, BERSATU akan menjalankan penelitian dan bedah siasat secara menyeluruh terhadap keputusan pilihan raya itu bagi mengenal pasti langkah strategik yang perlu diambil untuk mengukuhkan kedudukan parti pada masa hadapan.

Beliau berkata, hasil penilaian itu akan dijadikan asas dalam merangka pendekatan baharu bagi memastikan BERSATU terus relevan dalam memperjuangkan agenda rakyat Malaysia.

Dalam masa sama, beliau mendedahkan BERSATU akan membincangkan pembentukan gabungan baharu melibatkan parti-parti politik yang disifatkan lebih sederhana dan progresif sebagai usaha menyegarkan landskap demokrasi negara.

Azmin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti yang disifatkan telah bekerja keras membantu calon-calon BERSATU sepanjang kempen PRN16 dengan semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan parti.

Beliau berharap segala usaha yang dirancang selepas ini mampu memperkukuhkan BERSATU sebagai sebuah parti yang terus membawa agenda perubahan demi masa depan negara.

BBerkaitan

Latest articles