Manifesto BN Negeri Sembilan Tampil Dengan Sasaran Boleh Diukur, Fokus Cipta 50,000 Pekerjaan

SEREMBAN: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan lebih berorientasikan hasil apabila menggariskan sasaran yang boleh diukur, khususnya dalam aspek pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan.

Pandangan itu dikemukakan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Kepimpinan, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Madya Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman yang melihat pendekatan manifesto berkenaan berbeza daripada kebanyakan manifesto pilihan raya yang lazimnya hanya menawarkan janji umum tanpa penjelasan mengenai pelaksanaannya.

Menurut beliau, komitmen untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun merupakan antara sasaran paling signifikan kerana ia memberi ukuran jelas terhadap prestasi kerajaan sekiranya diberi mandat mentadbir negeri.

Katanya, dari perspektif ekonomi pembangunan, penciptaan pekerjaan adalah petunjuk yang lebih bermakna berbanding sekadar mengumumkan projek atau nilai perbelanjaan kerajaan kerana rakyat akhirnya menilai melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan taraf hidup.

Beliau menjelaskan sasaran tersebut bukanlah berdiri sendiri, sebaliknya disokong oleh beberapa strategi yang saling melengkapi, termasuk usaha menarik RM30 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, kemasukan pelaburan baharu lazimnya menjadi pemangkin kepada pembukaan kilang dan syarikat baharu, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan secara langsung serta merangsang pertumbuhan perusahaan kecil, rantaian bekalan dan sektor perkhidmatan.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan pendekatan Satu Daerah, Satu Syarikat Utama sebagai strategi yang berpotensi merapatkan jurang pembangunan antara daerah.

Katanya, pendekatan itu mengambil kira kelebihan ekonomi setiap daerah dan mampu mengurangkan tumpuan pembangunan hanya di kawasan tertentu, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berhampiran komuniti setempat serta mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke bandar.

Dr. Azmul Fahimi turut melihat penekanan terhadap pembangunan modal insan sebagai antara kekuatan manifesto berkenaan apabila menetapkan sasaran melatih 20,000 peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata, dalam era ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat, pelaburan tidak akan memberi impak maksimum tanpa tenaga kerja yang memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri.

Selain itu, katanya, sasaran mewujudkan 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menerusi pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) juga dilihat mampu membantu menarik industri bernilai tinggi seperti teknologi, automasi, aeroangkasa, elektronik dan ekonomi digital.

Menurut beliau, usaha itu penting memandangkan cabaran utama bukan lagi sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi memastikan lebih banyak pekerjaan yang menawarkan pendapatan tinggi dan nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Beliau turut berpandangan bahawa cadangan menaik taraf kawasan perindustrian serta infrastruktur akan meningkatkan daya saing Negeri Sembilan dalam menarik pelabur kerana aspek logistik, kemudahan utiliti, bakat tempatan dan kecekapan pentadbiran menjadi antara faktor utama yang dinilai pelabur.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan sesebuah manifesto tetap bergantung kepada keupayaan kerajaan melaksanakan setiap komitmen yang digariskan.

“Manifesto bukan jaminan kejayaan, namun manifesto yang menetapkan sasaran jelas, mempunyai indikator prestasi serta disokong strategi pelaksanaan lebih mudah dinilai dan dipertanggungjawabkan kepada rakyat berbanding janji yang bersifat umum,” katanya.

Beliau menambah, isu peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pengukuhan TVET serta peningkatan pelaburan merupakan antara cabaran utama Negeri Sembilan ketika ini, justeru fokus manifesto BN terhadap aspek berkenaan dilihat selari dengan keperluan pembangunan negeri.

Menurutnya, rakyat pada akhirnya bukan sekadar memilih parti politik, sebaliknya menentukan hala tuju ekonomi negeri untuk tempoh lima tahun akan datang, sekali gus menjadikan sasaran yang boleh diukur sebagai kayu ukur sebenar terhadap prestasi kerajaan pada penghujung penggal.

BBerkaitan

Latest articles