Anwar Beri 48 Jam Kepada Tuan Ibrahim Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan mengemukakan notis tuntutan berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau.

Menerusi notis berkenaan, Tuan Ibrahim diberi tempoh 48 jam untuk memenuhi beberapa tuntutan, termasuk menarik balik kenyataan yang dipertikaikan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat.

Peguam Anwar, Datuk SN Nair, berkata kenyataan yang menjadi pertikaian itu didakwa dibuat oleh Tuan Ibrahim di luar Dewan Rakyat pada 14 Jun lalu sebelum disebarkan semula menerusi platform media sosial.

Beliau berkata, selain permohonan maaf, anak guamnya turut menuntut supaya Tuan Ibrahim memberikan jaminan bertulis bahawa dakwaan sama tidak akan diulangi pada masa depan.

“Notis itu turut menuntut bayaran ganti rugi serta kos guaman yang ditanggung susulan kenyataan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut SN Nair, kegagalan Tuan Ibrahim memberikan maklum balas dalam tempoh 48 jam akan menyebabkan prosiding undang-undang difailkan tanpa sebarang notis lanjut.

BBerkaitan

Latest articles