PORT DICKSON: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada halangan untuk gabungan itu mengambil kira cadangan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) sekiranya kedua-dua pihak diberi mandat membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut beliau, pelaksanaan manifesto tidak seharusnya menjadi isu kerana matlamat utama kedua-dua gabungan adalah untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri terus diperkasakan.
Katanya, selain melaksanakan manifesto BN, kerajaan yang bakal dibentuk juga boleh meneliti serta mengadaptasi cadangan yang dikemukakan oleh PN sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tentunya akan merangkul sekali apa yang tersurat dan tersirat daripada rakan-rakan yang lain. Saya fikir tidak ada sebarang permasalahan jika pelaksanaannya dibuat kerana ia mencakupi semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di Port Dickson.
Ahmad Zahid berkata, manifesto BN dan PN tidak mempunyai perbezaan yang ketara kerana kedua-duanya berkongsi aspirasi sama untuk membangunkan Negeri Sembilan.
Justeru, beliau yakin penyelarasan dasar dan pelaksanaan manifesto mampu dilakukan sekiranya kedua-dua gabungan membentuk pentadbiran negeri.
“Kita menggembleng usaha bersama dan saya fikir tidak ada perbezaan antara mereka dengan kita. Saya percaya kita mampu bekerja bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mempersoalkan manifesto gabungan mana akan menjadi keutamaan sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
BN dan PN sebelum ini mencapai persefahaman untuk bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri, dengan kedua-dua gabungan menyasarkan pembentukan kerajaan negeri sekiranya memperoleh majoriti selepas hari pengundian.










