SEREMBAN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengingatkan bahawa kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu ini berpotensi memberi kesan besar terhadap kestabilan politik negara, termasuk kelangsungan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, meskipun Barisan Nasional (BN) berulang kali memberi jaminan akan terus bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pada 2028, situasi politik negara sentiasa berubah dan tidak boleh dijangka.
Katanya, atas sebab itu PH memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mempertahankan Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan.
“Politik sentiasa berubah. Apabila ada pihak melihat peluang, mereka akan bertindak. Perkara itu sentiasa berada dalam pertimbangan kami,” katanya dalam temu bual bersama The Edge.
Loke berkata, kekuatan sesebuah kerajaan akhirnya bergantung kepada mandat yang diberikan rakyat, sambil menegaskan sokongan pengundi merupakan faktor utama menentukan kedudukan politik mana-mana gabungan.
“Ahli politik hanya memahami bahasa kekuatan. Tanpa sokongan rakyat, kedudukan politik boleh menjadi sangat rapuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas spekulasi bahawa kemenangan besar BN pada PRN Negeri Sembilan berpotensi mencetuskan gerakan membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan perpaduan di Parlimen.
Mengulas kemungkinan PH gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, Loke tidak menolak rundingan dengan gabungan lain selepas pilihan raya, namun menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian.
Menurutnya, dalam landskap politik pasca-PRU15, tiada parti boleh menutup pintu kepada sebarang kemungkinan sekiranya keputusan pilihan raya menghasilkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tergantung.
Dalam pada itu, beliau mengakui kerjasama antara PH dan BN dalam kerajaan perpaduan bukan sesuatu yang mudah meskipun kedua-duanya berkongsi pentadbiran di peringkat Persekutuan.
Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin UMNO dalam Jemaah Menteri, beliau berseloroh bahawa mereka “berbaik-baik pada hari Rabu”, merujuk kepada mesyuarat Kabinet mingguan.
Bagaimanapun, Loke menegaskan semua anggota Kabinet perlu mengetepikan perbezaan politik ketika mentadbir negara kerana tanggungjawab mereka adalah memastikan urusan kerajaan berjalan dengan baik demi kepentingan rakyat.










