KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan rombakan terhadap dasar deposit, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS), termasuk menaikkan syarat deposit minimum bagi bakal jemaah yang ingin mendapat giliran menunaikan haji kali pertama.
Menerusi Laporan RCI TH yang didedahkan hari ini, deposit minimum dicadangkan dinaikkan daripada RM1,300 kepada kadar sebenar kos haji Muassasah semasa, iaitu RM12,980.
RCI turut mencadangkan pengeluaran deposit dalam jumlah besar dihadkan, dengan pendeposit perlu memberikan notis sekurang-kurangnya sebulan sebelum sebarang pengeluaran dibuat.
Selain itu, bantuan kewangan atau subsidi haji disyorkan hanya diberikan kepada bakal jemaah yang benar-benar memerlukan bagi memastikan pengagihan bantuan lebih bersasar.
Dalam laporan sama, RCI menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang diperkenalkan pada 2018 bagi memastikan matlamat penstrukturan institusi itu dapat dicapai sepenuhnya.
RCI turut mencadangkan penambahbaikan instrumen sukuk TH, termasuk dengan jaminan kerajaan, bagi mengukuhkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Menurut laporan itu, langkah tersebut penting kerana sekiranya TH gagal memenuhi tanggungjawabnya, jaminan kerajaan kepada pendeposit yang kini dianggarkan bernilai RM88 bilion perlu diaktifkan, sekali gus berpotensi menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan dan kestabilan sistem kewangan negara.
Bagi memperkukuh pengurusan aset, RCI turut mengesyorkan sukuk yang diterbitkan semula mempunyai ciri boleh diniagakan supaya TH lebih fleksibel mengurus pelaburannya dan mengoptimumkan pulangan.
Sukuk berkenaan juga dicadangkan ditawarkan bukan sahaja kepada TH dan kerajaan, malah kepada institusi kewangan lain.
Pada masa sama, kerajaan disaran memastikan peruntukan RM1.73 bilion setahun bagi penebusan awal sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) diteruskan seperti dipersetujui Jemaah Menteri, selain menggalakkan UJSB mempercepatkan penebusan sukuk melalui hasil pelupusan aset yang dipindahkan daripada TH.










