Laporan RCI Tabung Haji Bukti Penyelewengan Tiada Kaitan Dengan Kaum

LABU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji membuktikan bahawa isu penyelewengan tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu kaum, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan fakta dan individu yang terlibat.

Berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka malam ini, beliau berkata rakyat perlu membaca laporan RCI itu bagi memahami dapatan sebenar berhubung pengurusan Tabung Haji.

Menurutnya, laporan berkenaan memperlihatkan bahawa penyelewengan yang didakwa berlaku melibatkan individu tertentu dan bukannya mana-mana kaum.

“Laporan itu menunjukkan bagaimana penyelewengan dilakukan terhadap wang pendeposit Tabung Haji. Ia bukan soal kaum, tetapi soal salah laku individu,” katanya.

Mohamad turut mendakwa usaha memulihkan kedudukan Tabung Haji sebelum ini dilaksanakan oleh kerajaan ketika itu, termasuk melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Beliau berkata pendekatan menyalahkan sesuatu kaum setiap kali timbul isu penyelewengan adalah tidak tepat kerana kebaikan dan kejahatan boleh dilakukan oleh individu daripada mana-mana kaum.

“Kalau ada yang melakukan kejahatan, kita tentang. Kalau ada yang melakukan kebaikan, kita sokong, tanpa mengira kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata asas Kerajaan Perpaduan adalah membina keharmonian dengan menghormati Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera dan masyarakat Orang Asal sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Beliau turut menggesa pengundi memberi mandat kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan politik dapat diteruskan.

BBerkaitan

Latest articles