Mat Sabu Bidas Politik Perkauman, Tegaskan Semua Warganegara Dilindungi Perlembagaan

LABU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan bahawa politik berasaskan perkauman dan fahaman ekstrem kanan mampu menghakis keharmonian negara jika terus dijadikan modal politik.

Berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka, malam ini, beliau menegaskan setiap individu yang memiliki kad pengenalan biru dan diiktiraf sebagai warganegara adalah rakyat Malaysia yang menikmati hak serta perlindungan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan naungan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera telah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan, sekali gus tidak wajar dijadikan alasan untuk meniup sentimen perkauman yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

“Apabila seseorang itu menjadi rakyat Malaysia dan memegang kad pengenalan biru, dia adalah rakyat Malaysia. Hak Bumiputera pula sudah dijamin dalam Perlembagaan, jadi jangan mainkan fahaman ekstrem kanan yang boleh merosakkan keharmonian negara,” katanya.

Mohamad berkata, pendekatan politik yang terlalu menekankan perbezaan kaum bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah bertentangan dengan amalan demokrasi di banyak negara yang mengiktiraf kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

Beliau turut memberikan contoh beberapa pemimpin dunia seperti bekas Perdana Menteri United Kingdom, Rishi Sunak, Datuk Bandar London, Sadiq Khan, dan Datuk Bandar New York, Eric Adams, yang membuktikan latar belakang kaum bukan penghalang untuk memegang jawatan penting dalam sesebuah negara.

Menurutnya, Malaysia juga perlu terus mempertahankan prinsip bahawa setiap warganegara mempunyai hak yang sama, manakala sebarang salah laku perlu dinilai berdasarkan tindakan individu dan bukannya dijadikan alasan untuk menghukum sesuatu kaum secara keseluruhan.

“Di setiap kaum ada orang baik dan ada orang jahat. Kita lawan mereka yang melakukan rasuah dan jenayah, bukannya menghukum seluruh kaum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus mempertahankan semangat perpaduan serta menolak sebarang naratif berunsur perkauman yang berpotensi menggugat keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles