Anwar: Dedah Laporan RCI TH Bukan Ungkit Kisah Lama, Biar Rakyat Nilai

SEREMBAN: Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bukan bertujuan mengungkit kisah lama, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat menilai sendiri apa yang berlaku serta memastikan kelemahan sama tidak berulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Jemaah Menteri untuk mendedahkan laporan itu dibuat bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, merangkumi tempoh 2014 hingga 2020 termasuk usaha pemulihan yang dilaksanakan selepas itu.

“Ada yang tanya apa jadi pada 2018, 2019, 2020 dan langkah pemulihan yang dilakukan pengurusan TH. Biar rakyat menilai. Ini bukan membongkar kisah lama, tetapi menjadi pengajaran supaya amanah rakyat tidak lagi dikhianati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Anwar Bersama Pelajar Tingkatan Enam dan Politeknik Negeri Sembilan, hari ini.

Terdahulu, Kabinet bersetuju menyahklasifikasikan Laporan RCI TH yang akan dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Mengulas kandungan laporan itu, Anwar berkata ia turut merekodkan beberapa amaran yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) antara 2014 hingga 2017, namun didakwa tidak diendahkan oleh pengurusan TH ketika itu sehingga mengakibatkan kerugian.

Beliau turut mencadangkan sidang khas Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ahli Parlimen meneliti laporan, mendapatkan penjelasan dan membahaskannya secara terbuka, tertakluk kepada persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

BBerkaitan

Latest articles