MCA Cabar DAP Muhasabah, Persoal Gagal Tarik Sokongan Pengundi Melayu

SEREMBAN: DAP perlu melakukan penilaian menyeluruh terhadap pendekatan politiknya dan mengenal pasti punca parti itu masih gagal menembusi sokongan pengundi Melayu, kata Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Menurut beliau, DAP seharusnya memberi tumpuan untuk memperbaiki kelemahan sendiri berbanding terus menyerang MCA berhubung prestasi parti itu dalam pilihan raya.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu berkata, penerimaan pengundi Melayu terhadap MCA membuktikan masyarakat berkenaan menghargai sumbangan parti tersebut, sekali gus menolak dakwaan bahawa sokongan itu hanya disebabkan faktor kerjasama politik.

“MCA mampu memperoleh sokongan pengundi Melayu, jadi mengapa DAP tidak boleh berbuat demikian?

“Jika DAP terus mendakwa MCA hanya mendapat undi Melayu di Johor kerana PAS, maka mereka sepatutnya berani mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka tidak mahu menerima undi daripada penyokong PAS. Adakah mereka sanggup berbuat demikian?” katanya seperti dipetik akhbar Sin Chew.

Dalam masa sama, Wee menegaskan MCA mengalu-alukan sokongan daripada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik, termasuk penyokong DAP.

Mengulas prestasi pilihan raya, beliau berkata kejayaan MCA memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini membuktikan parti itu masih mendapat kepercayaan rakyat, manakala DAP hanya memenangi enam kerusi.

Bagi PRN Negeri Sembilan, MCA bertanding di tujuh kerusi DUN sebagai sebahagian daripada kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), dengan BN bertanding di 25 kerusi manakala baki 11 kerusi ditandingi PN yang diterajui PAS.

Wee turut melahirkan keyakinan bahawa BN berpeluang membentuk kerajaan negeri selepas PRN kali ini.

Beliau berkata, kejayaan MCA memenangi kerusi adalah penting bagi memastikan masyarakat Cina terus mempunyai wakil dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Jika BN berjaya membentuk kerajaan tetapi MCA gagal memenangi sebarang kerusi, maka tiada wakil masyarakat Cina dalam kerajaan negeri.

“Walaupun DAP memenangi kerusi, mereka hanya akan berada di blok pembangkang,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir MCA memenangi kerusi DUN di Negeri Sembilan ialah pada Pilihan Raya Umum 2008 sebelum DAP menguasai kebanyakan kerusi bandar dan separa bandar di negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles