NILAI: Polis Negeri Sembilan menolak dakwaan yang dibangkitkan Penyelaras Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, kononnya berlaku sogokan terhadap anggota polis bagi mempengaruhi undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata tuduhan berkenaan setakat ini hanyalah dakwaan yang tidak disokong sebarang laporan rasmi, namun polis bersedia menjalankan siasatan sekiranya aduan dikemukakan.
Beliau menegaskan pihaknya memandang serius kenyataan tersebut dan telah mengikuti perkembangan isu itu sejak ia dibangkitkan.
“Setakat ini ia hanya satu tohmahan terhadap pihak polis. Jika ada laporan dibuat, kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud unsur salah laku seperti didakwa, kes itu akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media hari ini.
Semalam, Chegubard mendakwa Pusat Media Perikatan Nasional (PN) didatangi beberapa anggota polis yang kononnya memaklumkan mereka menerima wang antara RM300 hingga RM500 sebagai habuan untuk mengundi parti tertentu.
Beliau turut mendakwa anggota terbabit diugut supaya menyerahkan nombor siri kertas undi selepas proses pengundian.
Mengulas perkara itu, Alzafny memberi jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh profesionalisme, telus dan berintegriti sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Katanya, polis komited memastikan keselamatan serta kelancaran PRN terpelihara dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan salah laku yang mempunyai asas untuk disiasat.










