Anwar: Tingkatan 6 Kekal Di Bawah KPM, Pelaksanaan Akan Dinilai Semula

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pengurusan Tingkatan 6 di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini, meskipun sebelum ini terdapat perancangan untuk meletakkan sistem prauniversiti itu di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memastikan aspek pelaksanaan, termasuk pengurusan guru dan sistem sedia ada, dapat diselaraskan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan struktur dilaksanakan.

Menurut beliau, kerajaan bersedia menilai semula perkara itu selepas beberapa tahun pelaksanaan bagi memastikan keputusan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada pelajar dan sistem pendidikan negara.

“Buat sementara ini biar kekal dahulu di Kementerian Pendidikan kerana masalah sistem guru dan sebagainya. Kita boleh kaji semula selepas pelaksanaan untuk beberapa tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pelajar Tingkatan 6 perlu diberi identiti tersendiri sebagai pelajar lepasan sekolah dan prauniversiti, bukannya dianggap sama seperti pelajar sekolah menengah.

Beliau berkata, walaupun pengajian Tingkatan 6 dijalankan dalam kampus yang sama dengan sekolah menengah, pengurusannya perlu dipisahkan menerusi penyediaan blok khas serta pentadbiran yang berasingan.

Malah, katanya, pelajar Tingkatan 6 juga wajar mempunyai aktiviti rasmi seperti perhimpunan sendiri tanpa digabungkan dengan pelajar Tingkatan Lima dan ke bawah.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pelajar Tingkatan 6 selaras dengan kedudukan mereka sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan prauniversiti.

“Kalau berada dalam sekolah yang sama sekali pun, mereka perlu mempunyai blok berasingan, diurus sebagai program berasingan, dan diberi pengiktirafan khas,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan model tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju pengurusan Tingkatan 6.

Pada April lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan kementeriannya sedang memuktamadkan rangka kerja perundangan dan pentadbiran bagi membawa pengajian Tingkatan 6 serta matrikulasi di bawah bidang kuasa KPT.

Sebelum ini, pada Januari, Anwar mengumumkan hasrat kerajaan untuk meletakkan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan Tingkatan 6 dan matrikulasi di bawah KPT bermula tahun ini sebagai langkah mengiktiraf kedua-dua laluan tersebut sebagai sebahagian daripada pendidikan tinggi.

Langkah penyusunan semula itu dicadangkan susulan kebimbangan bahawa program Tingkatan 6 kurang mendapat perhatian berbanding program matrikulasi dan laluan prauniversiti lain.

BBerkaitan

Latest articles