JELEBU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor mampu diterjemahkan di Negeri Sembilan apabila menyifatkan sambutan terhadap kempen parti itu semakin positif memasuki hari ketujuh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) terus bergerak bersama atas dasar persefahaman walaupun tanpa sebarang perjanjian atau pakatan rasmi.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera Barisan Nasional dan jentera Perikatan Nasional yang telah bergerak bersama-sama.
“Walaupun kita tidak mempunyai sebarang perjanjian atau pakatan rasmi, namun kita mempunyai persefahaman dan sambutan pada hari ketujuh kempen ini amat baik,” katanya pada sidang media selepas Program Rahmah Mesra Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di sini.
Menurut beliau, BN menawarkan agenda pembangunan yang realistik tanpa membuat janji yang sukar ditunaikan.
Katanya, sekiranya diberi mandat mentadbir semula Negeri Sembilan, BN akan mengembalikan kesinambungan dasar pembangunan negeri yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, antara fokus utama ialah menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing bagi mewujudkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
“Kita mahu anak-anak Negeri Sembilan bekerja di Negeri Sembilan, tinggal di Negeri Sembilan dan bersama-sama membangunkan negeri ini.
“Dengan kemasukan lebih banyak industri, kita boleh menawarkan pekerjaan bergaji premium yang melebihi kadar gaji minimum,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Negeri Sembilan masih mempunyai ruang besar untuk berkembang memandangkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu sekitar 4.6 peratus, lebih rendah berbanding purata nasional 5.2 peratus dan Johor yang mencatat sekitar lapan peratus.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan potensi besar untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi sekiranya negeri itu kembali ditadbir BN.
Beliau turut berharap keserasian antara jentera BN dan PN akan terus diperkukuhkan secara organik sepanjang baki tempoh kempen sehingga hari pengundian pada 1 Ogos.










