UJSB Catat Kerugian Terkumpul RM13.20 Bilion Pada Akhir 2025

KUALA LUMPUR: Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025, terutama disebabkan rosot nilai aset yang diambil alih daripada Lembaga Tabung Haji (LTH) serta kos keuntungan sukuk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, UJSB yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), ditubuhkan bagi membantu memulihkan kedudukan kewangan LTH melalui pengambilalihan dan pemulihan aset yang tidak berdaya saing.

Menurut beliau, pada 2018, UJSB mengambil alih aset LTH bernilai RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion, dengan perbezaan RM10.2 bilion merupakan premium yang diberikan bagi membantu pemulihan kewangan institusi berkenaan.

“Perbezaan RM10.2 bilion merupakan premium yang diberikan kepada LTH bagi membantu pemulihan kewangannya, tetapi menjadi beban kerugian kepada UJSB melalui rosot nilai aset.

“Selain itu, kos keuntungan sukuk yang terakru kepada LTH turut menyumbang kepada kerugian terkumpul UJSB sebanyak RM13.20 bilion pada akhir 2025,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai nilai aset bersih, jumlah liabiliti dan kerugian terkumpul UJSB berdasarkan penyata kewangan terkini.

Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan mengenai nilai semasa aset yang dipindahkan daripada LTH serta keupayaan UJSB memenuhi obligasi sukuk tanpa sokongan kewangan tambahan daripada Kerajaan.

Anwar berkata, kerugian terkumpul berkenaan perlu dibezakan daripada prestasi operasi UJSB yang secara konsisten mencatatkan keuntungan sejak 2019.

Menurutnya, syarikat itu merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM297 juta bagi tahun kewangan 2025, manakala nilai aset di bawah pengurusannya meningkat daripada RM9.7 bilion pada 2018 kepada RM11.61 bilion pada akhir 2025.

Beliau berkata, usaha pemulihan turut membolehkan syarikat perladangan yang kembali menjana keuntungan diserahkan semula kepada LTH pada harga lebih rendah berbanding harga pengambilalihan.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi tahun 2027 untuk tujuan penebusan awal sukuk UJSB, sekali gus memperkukuh aliran tunai LTH.

“Kementerian Kewangan komited untuk menyediakan peruntukan bagi penebusan awal sukuk tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan.

“Sebelum ini, peruntukan tidak dapat disediakan seperti yang dirancang kerana Kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, komitmen itu diteruskan bagi membantu UJSB memenuhi obligasinya kepada LTH, di samping memastikan pemulihan aset dilaksanakan secara berhemat.

BBerkaitan

Latest articles