YTL Construction perkukuh budaya keselamatan, DOSH gesa industri binaan utamakan pencegahan

KUALA LUMPUR – Budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) tidak boleh lagi dilihat sebagai sekadar pematuhan atau kempen tahunan, sebaliknya perlu menjadi amalan harian bagi mengurangkan risiko kemalangan dalam industri pembinaan yang kekal mencatatkan kadar kematian tertinggi di negara.

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan berkata, atas prinsip itu syarikat terus menganjurkan Minggu Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE Week) setiap tahun sebagai platform memperkukuh budaya kerja selamat dalam kalangan warga kerja dan rakan niaga.

Menurut beliau, HSE Week bukan sekadar mengisi takwim tahunan, sebaliknya menjadi medan untuk berkongsi ilmu, meningkatkan kesedaran serta mengingatkan setiap individu bahawa mereka memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar di tempat kerja.

“Keselamatan bukan sesuatu yang hanya diberi perhatian ketika Minggu HSE. Kami mahu semangat itu diteruskan di setiap projek dan setiap tempat kerja,” katanya.

Sepanjang program yang berlangsung dari 20 hingga 24 Julai itu, pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk latihan keselamatan profesional, pemeriksaan kesihatan, taklimat alam sekitar, kempen derma darah, sesi kesejahteraan dan program bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta SWCorp Malaysia.

Bagi memperkukuh budaya tersebut, Yeoh berkata, YTL Construction turut menubuhkan YTL Training Centre di Brickfields bagi meningkatkan kompetensi teknikal pekerja dalam aspek kualiti, keselamatan dan alam sekitar.


Selain itu, syarikat memperkenalkan YTL Construction Safety Passport bagi memastikan semua pekerja dan rakan niaga memahami standard keselamatan sebelum memasuki tapak projek, selain memanfaatkan teknologi digital menerusi aplikasi pelaporan serta papan pemuka prestasi KKP bagi memantau tahap pematuhan di semua projek.

“Keselamatan adalah asas kepada setiap keputusan dan pelaksanaan projek. Apabila asas ini kukuh, kualiti, produktiviti dan prestasi juga akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKP, Hazlina Yon berkata, komitmen seperti yang ditunjukkan YTL Construction wajar dijadikan contoh kepada industri pembinaan dalam usaha membudayakan pencegahan kemalangan di tempat kerja.

Beliau berkata, statistik 2024 menunjukkan Malaysia merekodkan 40,882 kes kecederaan pekerjaan, termasuk 418 kematian, dengan sektor pembinaan mencatatkan 101 kematian, iaitu yang tertinggi berbanding sektor lain.

“Matlamat utama JKKP bukan untuk mengeluarkan lebih banyak notis atau membawa lebih banyak kes ke mahkamah, tetapi memastikan kemalangan dapat dicegah dan setiap pekerja dapat bekerja dalam keadaan yang selamat.

“Pendekatan kami berpaksikan prinsip Prevention is Better than Prosecution dengan mengutamakan pembudayaan pencegahan dan pengurusan risiko sebelum sesuatu insiden berlaku,” katanya ketika merasmikan penutupan HSE Week 2026.

Menurut Hazlina, sambutan tahun ini turut signifikan kerana Malaysia meraikan 150 Tahun Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, selain pelancaran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30) yang bakal menjadi panduan memperkukuh ekosistem KKP negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa pelaksanaan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024 (CDM 2024) mengubah landskap industri apabila tanggungjawab terhadap keselamatan dikongsi oleh semua pemegang kewajipan, termasuk klien, pereka bentuk, perunding dan kontraktor.

Bagi memberi ruang kepada industri membuat persediaan, katanya, JKKP melanjutkan pendekatan ‘Soft Enforcement’ bagi Bahagian II dan III peraturan itu sehingga 1 Januari 2027, sebelum pematuhan penuh dilaksanakan.

Hazlina berkata, keselamatan di tapak bina juga tidak boleh dipikul oleh Penyelia Keselamatan Tapak semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama semua pihak bagi memastikan budaya keselamatan benar-benar menjadi sebahagian daripada operasi harian.

Beliau berharap lebih banyak syarikat pembinaan mencontohi pendekatan YTL Construction dalam menjadikan keselamatan, kesihatan pekerjaan dan kelestarian alam sekitar sebagai nilai teras organisasi, sekali gus membantu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di tempat kerja.

BBerkaitan

Latest articles