KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menepis dakwaan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekadar gimik politik, sebaliknya menegaskan persefahaman itu benar-benar diterjemahkan di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan kedua-dua gabungan sepanjang tempoh kempen membuktikan kerjasama tersebut bukan bersifat kosmetik, malah melibatkan pengorbanan tenaga serta perbelanjaan sendiri oleh jentera parti.
“Kita habis duit. Orang PAS turun berkempen menggunakan wang sendiri dan mengerah tenaga sepenuhnya. Jentera UMNO juga melakukan perkara yang sama,” katanya selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, pada Jumaat.
Abdul Hadi berkata, kesepakatan antara BN dan PN semakin terserlah apabila pelbagai program serta ceramah bersama mula dianjurkan di pelbagai peringkat sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Beliau turut memaklumkan akan menyertai siri ceramah bersama gabungan itu pada minggu depan sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama yang sedang dijalinkan.
Mengulas hubungan PAS dan UMNO yang pernah berpisah selepas Muafakat Nasional (MN), Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan perbezaan pandangan dalam politik sebagai sesuatu yang lumrah dan tidak melibatkan soal prinsip perjuangan.
Katanya, PAS dan UMNO hanya berbeza dari segi pendekatan politik, manakala asas perjuangan kedua-dua parti tidak bercanggah kerana PAS berteraskan Islam, manakala UMNO berasaskan Melayu.
Sehubungan itu, beliau berharap hubungan yang kembali terjalin antara kedua-dua parti dapat diperkukuhkan dan diteruskan pada masa depan demi kepentingan rakyat serta negara.










