SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan mengubah dasar melarang kemasukan rakyat Israel ke negara ini walaupun menerima kritikan dan tekanan daripada lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak menentukan pendiriannya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak luar.
Beliau berkata, larangan terhadap warga Israel bukanlah keputusan yang dibuat baru-baru ini, sebaliknya telah menjadi dasar negara sejak sekian lama.
“Biarlah mereka membuat kenyataan atau ugutan sekali pun, saya tetap akan mempertahankan hak Malaysia untuk menentukan dasar sendiri, termasuk keputusan menghalang kemasukan rakyat Israel ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, hari ini.
Anwar berkata, kenyataan beberapa Ahli Kongres AS itu jelas memperlihatkan mereka tidak memahami sejarah serta dasar Malaysia yang telah lama berkuat kuasa berhubung perkara berkenaan.
Beliau mengulas laporan mengenai surat dihantar lapan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, yang mendesak pentadbiran Washington mengambil tindakan susulan kenyataan Malaysia mahu mengusir rakyat Israel yang berada di negara ini.
Ahli Kongres terbabit ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss yang mendakwa kenyataan Anwar mempunyai unsur antisemitisme.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendirian Malaysia dibuat berasaskan prinsip kemanusiaan dan tidak boleh dipisahkan daripada penderitaan rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel.
Beliau mempersoalkan sikap segelintir pihak yang memilih untuk berdiam diri terhadap pembunuhan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan yang berlaku di Palestin dan Gaza, namun bertindak mengkritik pendirian Malaysia.
Pada masa sama, Anwar menegaskan isu itu tidak sepatutnya menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kerana Washington sedia maklum mengenai pendirian Malaysia yang telah diamalkan sejak berdekad lamanya.
Katanya, Malaysia akan terus mengalu-alukan kehadiran rakyat Amerika serta mengekalkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hubungan diplomatik, namun tidak akan berkompromi dalam menyuarakan pendirian terhadap pembunuhan rakyat yang tidak bersalah di Palestin.










