Faizal Tidak Ambil Mudah Saingan Sengit Di DUN Linggi

LInggi : Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Faizal Ramli, tidak mahu jentera parti mengambil mudah cabaran kali ini meskipun kawasan berkenaan dianggap sebagai kubu kuat BN.

Beliau berkata saingan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, serta calon BERSATU, Datuk Zamri Md Said, menuntut jentera BN melipatgandakan usaha mendekati pengundi.

“Walaupun dikhabarkan Linggi ini kubu kuat Barisan Nasional, saingan kita adalah orang yang hebat. Kita perlu menambah dan melipatgandakan gerak kerja supaya kerusi Barisan Nasional dapat dikekalkan di Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ziarah dan kempen bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Pelebar Baru di sini, sebelum meneruskan lawatan ke Kampung Orang Asli Bukit Kepong.

Faizal berkata sambutan diterima sepanjang beberapa hari kempen memberikan keyakinan kepada pihaknya, selain jentera tempatan menunjukkan kesungguhan dan semangat tinggi untuk membantu parti merayu sokongan pengundi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua petugas supaya tidak terlalu yakin dan terus memperkemas gerak kerja, khususnya bagi memastikan penyokong tegar BN keluar mengundi serta tidak beralih sokongan.

“Kita yakin dengan seluruh kekuatan jentera tempatan yang bersungguh-sungguh dan bersemangat membantu parti. Setakat ini, gerak kerja itu menunjukkan keberkesanan.

“Namun, saya mahu usaha ini terus dilipatgandakan supaya pengundi tegar kita tidak lari atau berubah sokongan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Mohd Faizal mengekalkan penguasaan BN di DUN Linggi selepas memperoleh 7,832 undi dengan majoriti 1,461 undi.

Mengenai kemungkinan wujud rasa tidak puas hati atau sabotaj dalaman, Faizal berkata situasi berkenaan tidak berlaku di Linggi dan semua pemimpin serta anggota parti memberikan kerjasama yang baik.

Beliau berkata seluruh kepimpinan parti telah diminta mengetepikan sebarang perbezaan atau rasa tidak puas hati dan memberikan tumpuan kepada matlamat utama untuk memenangi pilihan raya.

“Kalau ada rasa tidak puas hati atau mahu merajuk, kita letakkan dahulu perkara itu ke tepi. Kita perlu tumpukan kepada kerja dan tanggungjawab kerana matlamat utama adalah untuk menang.

“Jika ada perkara yang belum selesai, kita selesaikan selepas pilihan raya. Setakat ini, khususnya di Linggi, tiada masalah dan semua pemimpin memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Faizal berkata soal kebajikan rakyat dan pembangunan akan terus menjadi keutamaannya sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

Menurutnya, tanggungjawab seseorang wakil rakyat adalah untuk menyantuni semua kaum dan lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik.

“Apabila dipilih sebagai wakil rakyat, kita perlu menjaga semua pihak. Bagi saya, keutamaan ialah kebajikan masyarakat dan membantu penduduk yang memerlukan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles