Syed Saddiq Tamatkan Larian 170km, Dana Kebajikan Muar Cecah Lebih RM361,000

MUAR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan Misi Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer apabila melintasi garisan penamat di Laman Maharani, di sini, kira-kira jam 9.15 pagi Ahad.

Misi selama empat hari yang bermula dari Putrajaya pada 16 Julai itu disambut meriah apabila ratusan penyokong serta penduduk Muar memenuhi kawasan Laman Maharani seawal jam 8 pagi bagi menyambut ketibaannya.

Sorakan “Hidup Muar” dan “Tahniah YB” bergema sebaik Syed Saddiq menamatkan laluan terakhir sejauh 17 kilometer yang bermula dari Simpang Sungai Rambai pada jam 7 pagi.

Memakai pakaian sukan serba hitam, beliau memasuki pusat bandar Muar sebelum merentasi Jambatan Sultan Ismail menuju ke lokasi penamat bersama beberapa kumpulan pelari, termasuk komuniti Muo Runner.

Larian berkenaan bermula di pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya sebelum merentasi Negeri Sembilan dan Melaka, seterusnya berakhir di Muar.

Sebelum ini, Syed Saddiq memaklumkan Misi Larian Kesyukuran itu dianjurkan sebagai tanda kesyukuran selain bertujuan mengumpul dana kebajikan untuk membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Menurutnya, hasil kutipan akan disalurkan bagi menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta membeli iPad untuk pelajar yang tidak mempunyai akses kepada peranti pembelajaran.

Sehingga semalam, kempen berkenaan berjaya mengumpul RM361,848, sekali gus melepasi sasaran awal RM200,000 yang ditetapkan. Jumlah itu dijangka terus meningkat susulan sambutan yang diterima sepanjang misi larian tersebut.

BBerkaitan

Latest articles