KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan serta-merta ekoran tindakan parti itu menjalin kerjasama terbuka dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan tindakan BN itu sebagai bukti jelas bahawa parti berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan dan kedudukan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Penerangan AMH yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Ammar Atan, Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan Ho Chi Yang, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Danish Hairudin, dan Pengarah Biro Komunikasi Warda Syazana Nasir.
AMH turut menempelak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang menyifatkan sokongan pengundi kepada calon BN dan PN di peringkat negeri sebagai medan menguji formula baharu, yang berpotensi diterjemahkan ke skala nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Pengakuan Pengerusi BN menunjukkan bahawa kerjasama BN-PN tersebut bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya merupakan persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu.
“Kenyataan sebegini secara jelas menunjukkan bahawa BN ternyata tidak lagi menghargai semangat kerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beberapa jawatan menteri, dan jawatan penting lain,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, AMH menegaskan bahawa PH sebelum ini sentiasa menghormati semangat Kerajaan Perpaduan termasuk memperuntukkan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kepada BN di Pulau Pinang dan Selangor pasca-Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, walaupun kedua-dua negeri itu sekian lama diterajui PH.
Sehubungan itu, AMH mendesak peletakan jawatan berkenaan disegerakan bagi membolehkan BN menumpukan usaha mengukuhkan kerjasama dengan PN tanpa menjejaskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Langkah itu juga disifatkan wajar bagi menghentikan sikap “talam dua muka” serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berhubung hala tuju politik BN.
“Peletakan jawatan para Menteri dan Timbalan Menteri BN turut dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan ‘menebuk atap’ yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Ia sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” tambah kenyataan itu.










