KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru rakyat Negeri Sembilan memberikan mandat yang lebih besar kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri yang disifatkannya bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi PH itu berkata, kerajaan negeri yang diterajui gabungan berkenaan sejak 2018 telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, namun masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan yang perlu diteruskan.
“Saya memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada HARAPAN demi kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun.
“Sejak 2018, pelbagai ikhtiar telah digerakkan. Namun, masih banyak yang perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar turut mendoakan semua calon PH yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan dikurniakan kekuatan, dipermudahkan segala urusan dan memperoleh kejayaan pada hari pengundian nanti.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak agar sentiasa berpegang kepada nilai kebajikan dan ketakwaan, selain menyeru umat Islam supaya saling membantu dalam melakukan kebaikan serta menjauhi sebarang bentuk kerjasama yang membawa kepada dosa dan permusuhan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan, selepas proses penamaan calon selesai pada jam 10 pagi tadi.
Seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan pelbagai parti politik dan calon Bebas.
PH mempertaruhkan calon di semua 36 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 25 calon, BERSATU (24), Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan empat calon Bebas. Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon.










