SEREMBAN: MCA menyifatkan pentadbiran “Kerajaan Perpaduan” pada masa ini sebagai sekadar ‘perpaduan hipokrit’ sekiranya gabungan itu hanya menumpukan kepada perkongsian kuasa tetapi gagal melaksanakan reformasi serta menyelesaikan masalah rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, apa yang amat diperlukan oleh rakyat ketika ini bukanlah perbalahan politik yang tiada kesudahan, sebaliknya sebuah kerajaan yang cekap dan mampu menyelesaikan isu-isu domestik yang mendesak.
Beliau membariskan masalah utama seperti bekalan air, infrastruktur jalan raya, banjir, peluang pekerjaan, urusan perniagaan, serta tekanan kos sara hidup yang menuntut penyelesaian segera.
”Pilihan politik dan perebutan kuasa Pakatan Harapan (PH) pada masa lalu telah membuka ruang yang lebih besar kepada politik ekstrem. Negeri Sembilan tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ka Siong turut membidas DAP yang didakwanya meraih sokongan melalui politik melabel dan retorik berunsur konfrontasi sehinggakan menjadi pendorong utama kepada perpecahan sentimen masyarakat.
Menurutnya, perpecahan politik yang meruncing hanya akan membuka ruang ekstrem yang lebih besar dalam negara.
Justeru katanya, Barisan Nasional (BN) hadir sebagai satu-satunya gabungan yang mampu menyatukan kuasa pertengahan, mempertahankan masyarakat majmuk, dan membina sebuah kerajaan yang stabil.
Dalam pada itu, bagi mengelakkan kekacauan politik dan perpecahan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, Ka Siong mengesahkan BN dan Perikatan Nasional (PN) mengambil pendekatan melaksanakan kerjasama strategik membabitkan persefahaman kawasan pilihan raya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, persefahaman tersebut tidak bermaksud satu penggabungan parti, sebaliknya setiap parti tetap mengekalkan ideologi, pendirian, serta peranan semak dan imbang masing-masing.
”Penyertaan MCA dalam persefahaman ini adalah untuk memastikan masyarakat Cina, masyarakat majmuk, pendidikan vernakular, dan kebebasan beragama mempunyai wakil dan suara di dalam kerajaan.
”Persefahaman ini berlandaskan kepentingan rakyat, bukannya sokongan tanpa syarat. MCA akan menentang mana-mana dasar yang menjejaskan hak dan kepentingan rakyat majmuk di Malaysia,” katanya.
Beliau menambah, PRN Negeri Sembilan kali ini memberi ruang terbaik kepada rakyat untuk memilih wakil yang paling berkemampuan, peka terhadap isu semasa, dan mampu mengotakan janji.










