PONTIAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini mengumumkan penarikan balik gelaran ‘UMDAP’ yang digunakannya sebelum ini terhadap UMNO di tiga buah negeri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau berkata keputusan itu dibuat berikutan perkembangan landasan politik semasa di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang menyaksikan perubahan dalam hubungan kerjasama parti berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa gelaran tersebut ditarik balik selepas mengambil kira penegasan kepimpinan di Johor dan Negeri Sembilan yang menyatakan komitmen untuk tidak bekerjasama dengan DAP.
“Sebab dulu saya kata UMDAP kerana UMNO bekerjasama dengan DAP. Sekarang ini Johor dah isytihar tidak bekerjasama dengan DAP, (maka) tarik UMDAP.
“Negeri Sembilan tidak kerjasama dengan DAP, tarik UMDAP. Di Melaka, DAP dah keluar… jadi dengan itu tarik,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pontian Kali Ke-40, hari ini.
Istilah ‘UMDAP’ sebelum ini sering digunakan oleh beberapa pihak sebagai merujuk kepada kerjasama politik antara UMNO dan DAP dalam landskap politik negara.










