JEMPOL: Kejayaan atau kegagalan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bakal menjadi penentu kepada hala tuju hubungan politik kedua-dua gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prestasi kerjasama yang diuji buat kali pertama di Negeri Sembilan itu akan dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai peluasan kerjasama pada masa depan.
Menurut beliau, landskap politik yang sentiasa berubah memerlukan setiap keputusan dibuat berdasarkan perkembangan semasa.
“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan terlebih dahulu kerana politik ini sangat dinamik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gema@KKDW 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan akan dijadikan model bagi menghadapi PRU16 sekiranya kedua-dua gabungan berjaya membentuk kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu menjelaskan bahawa hubungan antara BN dan PN ketika ini masih bersifat persefahaman pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri, bukannya satu perjanjian rasmi yang mengikat kedua-dua pihak.
Katanya, pengalaman kerjasama di Johor serta faktor geopolitik di Negeri Sembilan menjadi antara pertimbangan utama yang mendorong persefahaman itu dicapai.
“Tentu kita belajar daripada pengalaman dan geopolitik di Johor. Kita berterima kasih kepada kepimpinan parti-parti gabungan dalam PN yang memahami situasi geopolitik di Negeri Sembilan.
“Mudah-mudahan ia akan menjadi asas kepada satu jajaran politik baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid turut melahirkan keyakinan bahawa momentum kemenangan besar BN pada PRN Johor mampu diteruskan di Negeri Sembilan, dengan mengambil kira rekod pentadbiran dan pengurusan ekonomi negeri yang disifatkannya cemerlang ketika diterajui BN.
PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Pakatan Harapan (PH), Bersatu dan gabungan BN-PN.
PH akan bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN dan PN masing-masing bertanding di 25 serta 11 kerusi.
Bersatu pula menggunakan lambang sendiri dengan meletakkan calon di 24 kerusi.










