PETALING JAYA: Medan Selera 223 sekali lagi dilanda banjir kilat selepas hujan lebat yang melanda kawasan itu petang ini, dengan paras air dilaporkan meningkat sehingga kira-kira dua meter.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.35 petang.
Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dikerahkan ke lokasi dan tiba kira-kira 20 minit selepas panggilan diterima.
Menurutnya, komander operasi mengesahkan paras air ketika anggota bomba tiba di lokasi mencecah sekitar dua meter.
“Bagaimanapun, keadaan didapati semakin pulih apabila paras air mula menunjukkan trend menurun. Tiada mangsa dilaporkan terperangkap dan tiada pemindahan penduduk dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi pemantauan dan bantuan dijalankan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Rakaman siaran langsung yang tular di TikTok memaparkan air keruh memenuhi kawasan medan selera berkenaan, manakala beberapa peniaga serta orang awam dilihat meredah banjir.
Malah, peniaga turut bertungkus-lumus mengalihkan barangan perniagaan ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan akibat ditenggelami air.
Insiden itu bukan kali pertama berlaku di Medan Selera 223 yang sebelum ini turut beberapa kali dilanda banjir kilat.
Pada 6 Mei lalu, paras air dilaporkan mencecah kira-kira 1.2 meter sehingga menenggelamkan beberapa kenderaan di kawasan parkir, manakala kejadian pada 20 April menyaksikan air naik sehingga ke paras pinggang.










