Hadi Tolak Dakwaan PN Toksik, Tuduh Bersatu Punca Keretakan Hubungan

JEMPOL: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak dakwaan bekas pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan itu kini menjadi toksik dan menyimpang daripada perjuangan asal di bawah pimpinan PAS.

Sebaliknya, Hadi mendakwa kemelut antara PAS dan Bersatu berpunca daripada tindakan parti itu sendiri yang didakwa melanggar prinsip kerjasama dalam PN.

“Itu tidak benar. Apa yang berlaku (keretakan hubungan) disebabkan salah laku Bersatu dalam kerjasama PN,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol.

Kenyataan itu sebagai respons terhadap dakwaan Muhyiddin sebelum ini yang menuduh PAS menyebarkan fitnah terhadap kepimpinan Bersatu dalam usaha mengenepikan parti berkenaan daripada PN.

Muhyiddin turut mengaitkan kemelut politik di Perlis sebagai contoh kelemahan kepimpinan PAS, selepas jawatan Menteri Besar negeri itu bertukar daripada wakil PAS kepada Bersatu.

Dalam perkembangan sama, Hadi berkata PAS menyerahkan kepada Bersatu sekiranya parti itu mahu membentuk gabungan politik baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Namun, beliau menegaskan fokus PN ketika ini adalah memperkukuh kerjasama yang dilihat mampu membawa perubahan serta membantu rakyat.

Mengulas kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan, Hadi berkata keputusan itu mendapat penerimaan baik daripada akar umbi PAS dan usaha akan diteruskan untuk memperluaskan persefahaman berkenaan pada masa akan datang.

“Kita akan usahakan perluas kerjasama seluruh negara. Yang penting negara kita selamat,” katanya.

Untuk PRN Negeri Sembilan, PN kini bekerjasama dengan BN di beberapa kawasan, manakala Bersatu mengambil pendekatan bertanding menggunakan logonya sendiri.

BBerkaitan

Latest articles