BN-PN Kerjasama Strategik Elak Pertembungan Pelbagai Penjuru, Bukan Gabungan Politik

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan bermaksud kedua-dua gabungan itu bergabung atau mengenepikan prinsip politik masing-masing.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata persefahaman berkenaan dibuat bagi mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru yang boleh memecahkan undi, sekali gus meningkatkan peluang membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Menurutnya, kerjasama itu bertujuan memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat dibentuk dengan lebih kukuh, cekap dan berkesan tanpa menjejaskan peranan setiap parti sebagai semak dan imbang.

“Kerjasama ini bukan penggabungan, bukan membentuk parti baharu. Setiap parti akan terus mempertahankan prinsip ideologi masing-masing,” katanya dalam sidang media dalam talian.

Wee berkata, penyertaan MCA dalam kerjasama berkenaan juga bagi memastikan kepentingan masyarakat Cina, masyarakat majmuk, pendidikan vernakular serta kebebasan beragama terus diberi perhatian.

Bagaimanapun, beliau menegaskan MCA tidak akan memberikan sokongan tanpa syarat kepada mana-mana pihak.

Katanya, keputusan BN untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk kepimpinan MCA Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Wee berkata kerjasama tersebut tidak menghalang mana-mana parti lain untuk bertanding kerana perkara itu merupakan hak dalam sistem demokrasi.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan kerjasama PN dan BN di Negeri Sembilan sebagai hubungan yang lebih erat berbanding sekadar kerjasama biasa, malah kedua-dua pihak akan saling membantu sepanjang kempen PRN.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan persaingan antara Pakatan Harapan (PH), BN-PN serta Bersatu yang bertanding menggunakan lambangnya sendiri.

PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, manakala BN dan PN masing-masing bertanding di 25 dan 11 kerusi.

Bersatu pula bertanding di 24 kerusi, termasuk beberapa kawasan yang menyaksikan pertembungan dengan parti sekutu dalam PN.

BBerkaitan

Latest articles