PORT DICKSON, – Penyelaras DUN Bagan Pinang yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson, Najib Isa mengakui perasaan sedih tetap wujud susulan keputusan menyerahkan kerusi Bagan Pinang kepada PAS menerusi persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, beliau menegaskan perasaan tersebut tidak harus mengatasi kepentingan parti kerana semua pihak perlu memahami matlamat yang lebih besar di sebalik kerjasama berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Barisan Nasional Di Port Dickson pada hari penamaan calon hari ini.
Menurut Najib, keputusan itu dibuat berasaskan semangat persefahaman dan sikap saling bertolak ansur antara rakan kerjasama, dengan mengambil kira kedudukan kerusi berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri 2023.
“Apabila kita sudah ada persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai, sudah tentu perlu ada semangat give and take. Selepas PRN 2023, kerusi itu menjadi milik PAS, maka dalam rundingan yang dibuat kita menghormati perkara tersebut,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya beliau kecewa dengan keputusan itu, Najib berkata beliau tidak pernah merajuk, sebaliknya menganggap ia sebagai satu pengorbanan yang perlu dilakukan demi kepentingan bersama.
“Sedih itu memang ada sedikit kerana ia seperti rumah kita sendiri. Bila terpaksa meninggalkannya seketika, sudah tentu ada rasa sedih. Tetapi ia bukan kekecewaan yang boleh membawa kepada masalah.
“Kita faham apa tujuan kita, apa niat kita dan apa matlamat yang hendak dicapai. Matlamat itu jauh lebih besar daripada agenda atau perasaan peribadi,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh ahli dan penyokong BN supaya terus mematuhi arahan parti serta memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipersetujui dalam kerjasama BN-PN.
Menurutnya, penyokong BN di Bagan Pinang akan memberikan sokongan kepada calon PAS yang mewakili PN, manakala beliau yakin penyokong PAS di Linggi pula akan membalas sokongan itu dengan membantu kemenangan calon BN, Datuk Faizal.
“Kita sebagai orang parti, ikut sahaja keputusan parti. Di Bagan Pinang kita beri sokongan kepada calon PAS, dan saya yakin ahli serta penyokong PAS di Linggi juga akan memberi sokongan penuh kepada calon BN,” katanya.
Menyentuh masa depan hubungan antara BN dan PN, Najib berkata walaupun belum wujud kerjasama rasmi, persefahaman yang terjalin ketika ini merupakan permulaan yang baik dan berpotensi berkembang pada masa hadapan.
“Walaupun tidak ada persefahaman secara formal, kita sudah mula saling mengenali. Mana tahu jika ada jodoh yang lebih panjang pada masa depan. Yang penting, persefahaman ini diharap membawa kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.










