BN Tak Ketandusan Calon MB, Tunggu Pengumuman – Jalaluddin

JELEBU: Barisan Nasional (BN) hanya akan memutuskan calon Menteri Besar Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN mempunyai beberapa pemimpin yang layak untuk menerajui pentadbiran negeri dan tidak berdepan masalah mencari calon bagi jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemilihan Menteri Besar akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi BN selepas keputusan pilihan raya diketahui.

“Kita ada beberapa calon dan kita tidak kekurangan tokoh untuk menerajui kerajaan negeri.

“Tentunya apabila kita sudah mencapai kejayaan, kepimpinan BN akan menentukan siapakah yang layak dipilih sebagai Menteri Besar bagi mengetuai kerajaan negeri,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Nama Jalaluddin sendiri antara yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan Menteri Besar sekiranya BN berjaya mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH).

Menghadapi PRN Negeri Sembilan ke-16, Jalaluddin akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang buat penggal ketiga menerusi saingan tiga penjuru.

Beliau bakal dicabar calon PH, Umry Abdul Khois, dan calon Bersatu, Faizal Fadli Idrus.

DUN Pertang berada di bawah Parlimen Jelebu yang turut diwakili Jalaluddin sebagai Ahli Parlimen sejak 2018.

BBerkaitan

Latest articles