PAC Saran Harga Minyak Masak Diapungkan, Subsidi Bersasar Perlu Dipercepat

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mencadangkan kerajaan menilai semula dasar kawalan harga minyak masak dengan mempertimbangkan mekanisme pengapungan harga di pasaran terbuka bagi memastikan bekalan lebih stabil serta mengurangkan beban subsidi kerajaan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendekatan itu boleh dijadikan pilihan berdasarkan kejayaan pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur yang dilihat berjaya menstabilkan pasaran.

Menurut beliau, langkah berkenaan bukan sahaja mampu mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan, malah mewujudkan persaingan harga yang lebih sihat di peringkat peruncitan.

Cadangan itu merupakan antara lapan syor yang dikemukakan PAC menerusi Penyata Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Penyata tersebut disediakan selepas PAC mengadakan 10 prosiding antara 5 Ogos hingga 15 Oktober tahun lalu susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang menyifatkan pengurusan kawalan harga serta subsidi minyak masak masih kurang memuaskan.

Dalam masa sama, PAC mendapati Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi setiap bulan, sedangkan keperluan sebenar pasaran domestik dianggarkan hanya sekitar 19,000 hingga 30,000 tan metrik.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan mengesyorkan KPDN menyemak semula keseluruhan rantaian bekalan dan mengurangkan kuota subsidi bulanan supaya lebih selari dengan permintaan sebenar, sekali gus mengelakkan ketirisan serta pembaziran dana awam.

PAC turut membangkitkan isu keberkesanan subsidi apabila mendapati perbelanjaan sebanyak RM10.879 bilion yang dibelanjakan antara 2019 hingga Februari tahun lalu tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasar kerana ketiadaan mekanisme agihan bersasar.

Menurut PAC, minyak masak paket satu kilogram didapati turut dibeli oleh pihak yang tidak layak termasuk warga asing dan pengusaha komersial.

Bagi mengatasi isu itu, kerajaan disaran mempercepat pelaksanaan subsidi bersasar sepenuhnya menerusi platform digital eCOSS bagi menggantikan sistem subsidi pukal sedia ada.

Selain itu, PAC menggesa kadar subsidi RM600 bagi setiap tan metrik yang dibayar kepada syarikat pembungkus semula disemak semula selepas mendapati margin keuntungan yang diperoleh adalah terlalu tinggi berbanding kos pemprosesan sebenar.

Jawatankuasa itu juga mendapati kerajaan masih menanggung subsidi bagi stok minyak masak yang rosak dan tidak dapat dipasarkan kepada pengguna, selain kelemahan pemantauan di peringkat peruncit yang membuka ruang kepada amalan jualan bersyarat, penyimpanan stok berlebihan serta penjualan melebihi harga kawalan.

Dalam perkembangan sama, Mas Ermieyati berkata, sebanyak 67 peratus kuota penapisan minyak masak bersubsidi kini dikuasai syarikat asing, manakala dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), FGV dan SD Guthrie, hanya menguasai 10.6 peratus daripada keseluruhan kuota.

Berikutan itu, PAC mengesyorkan agar keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan yang berdaya saing dalam sebarang pengagihan semula kuota pada masa hadapan.

Beliau turut memaklumkan dua daripada sembilan syarikat pembungkus semula yang ditegur dalam LKAN masih belum memperoleh pensijilan halal walaupun proses pensijilan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diperkemas.

BBerkaitan

Latest articles