Kempen Secara Matang, Berhemah Fokus Utama BN Hadapi PRN Negeri Sembilan – Jalaluddin

SEREMBAN, — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan Barisan Nasional (BN) akan mengutamakan kempen secara matang, berhemah dan berteraskan penyampaian visi kepada rakyat sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, semua calon BN telah diingatkan supaya mengamalkan budaya politik yang sihat tanpa menyerang atau memperlekehkan pihak lawan.

“Saya berharap kita akan menghadapi pilihan raya dalam keadaan yang penuh berhemah tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Saya juga telah mengingatkan semua calon supaya berkempen dengan membawa visi dan kempen yang berhemah tanpa mengecilkan atau memperlekehkan pihak lawan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan, malam ini.

Beliau berkata, pendekatan itu diyakini mampu memberikan keyakinan kepada rakyat untuk menilai calon berdasarkan idea, rekod perkhidmatan dan tawaran kepada pengundi.

Pada masa sama, Jalaluddin menyifatkan pelancaran Jentera PRN BN Negeri Sembilan sebagai detik bersejarah buat UMNO dan BN apabila ia menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan jentera parti.

Menurutnya, kehadiran anggota Wanita, Pemuda, Puteri serta golongan muda yang memenuhi majlis itu menunjukkan komitmen tinggi untuk memastikan kemenangan BN pada PRN kali ini.

“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah bagi UMNO dan Barisan Nasional apabila Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Jentera PRN Negeri Sembilan.

“Kita melihat sambutan daripada pelbagai kelompok jentera yang hadir memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Jalaluddin berkata, suasana yang disifatkannya sebagai “lautan gelombang biru” pada majlis itu jauh lebih memberangsangkan berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Saya perhatikan lautan gelombang biru pada malam ini sangat luar biasa jika dibandingkan dengan pilihan raya sebelum ini.

“Ini menggambarkan titik tolak kepada kebangkitan besar yang bakal berlaku pada 1 Ogos nanti, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua calon BN yang diumumkan malam ini telah melalui proses saringan dan tapisan yang menyeluruh bagi memastikan hanya calon terbaik diketengahkan kepada rakyat.

“Calon-calon ini telah melepasi semua tapisan yang kita lakukan bagi memastikan mereka adalah calon terbaik untuk diketengahkan dalam pilihan raya kali ini.

“Insya-Allah, Barisan Nasional akan mencipta kejayaan yang luar biasa pada 1 Ogos nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles