SEREMBAN — Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli, menyatakan keyakinan untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil optimis BN mampu membentuk kerajaan negeri selepas hari pengundian pada 1 Ogos nanti.
Beliau berkata, tempoh berkempen selepas hari penamaan calon akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendekati pengundi dan memastikan sokongan terhadap BN terus diperkukuhkan.
Menurutnya, walaupun kerusi berkenaan dianggap antara tumpuan dalam PRN kali ini, beliau tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi.
“Saya sebagai penyandang sudah semestinya akan mempertahankan kerusi ini daripada dirampas oleh Pakatan Harapan (PH). Walaupun kerusi ini dikatakan menjadi tumpuan, saya tidak menganggapnya sebagai satu pertandingan yang mudah.
“Saya akan terus turun padang, berkempen dan memastikan hati pengundi dapat dimenangi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Negeri Sembilan, malam ini.
Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan sebagai calon PH bagi DUN Linggi, sekali gus meninggalkan kerusi DUN Sikamat yang disandangnya sejak tahun 2008.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan.
Pada masa sama, Setiausaha Politik kepada Aminuddin, Nor Azman Mohamad, diumumkan sebagai calon PH bagi DUN Sikamat.
Aminuddin sebelum ini mempertahankan kerusi DUN Sikamat selama empat penggal berturut-turut sejak 2008, menjadikan kawasan itu antara kubu kuat beliau.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan jentera, Mohd Faizal berkata, persiapan telah dimulakan lebih awal dengan semua bilik gerakan mula beroperasi sejak 1 Julai lalu.
Katanya, gerak kerja pilihan raya turut disusun secara terperinci di bawah penyelarasan Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan bagi memastikan kempen dapat digerakkan sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.
“Kita telah memperincikan dan menyusun gerak kerja jentera lebih awal supaya sebaik sahaja penamaan calon selesai, kita terus bergerak meraih sokongan pengundi,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan jentera UMNO, MCA, MIC serta jentera di peringkat kampung dan sukarelawan diyakini mampu membantu memastikan kemenangan BN di kerusi berkenaan.
Mengulas peluang BN pada PRN kali ini, Mohd Faizal berkata landskap politik semasa berbeza berbanding Pilihan Raya Umum 2018 apabila sentimen ketika itu banyak dipengaruhi keinginan rakyat untuk menukar kerajaan.
Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 turut mengubah dinamika politik, namun beliau percaya situasi semasa kini lebih memihak kepada BN.
“Saya lihat senario pada tahun 2026 cukup berbeza. Apa yang berlaku di Johor juga memberi keyakinan kepada kita dan saya percaya momentum itu turut dirasai di Negeri Sembilan.
“Saya yakin pada 1 Ogos nanti, Barisan Nasional akan berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan, insya-Allah,” katanya.










