KPT: ‘Network School’ Bukan IPTS Sah, Tiada Pengiktirafan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa Network School yang beroperasi di Forest City, Johor bukan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) berdaftar, sekali gus tidak diiktiraf atau dikawal selia oleh kementerian itu.

Dalam kenyataan pada Selasa, KPT memaklumkan semakan mendapati Network School tidak pernah didaftarkan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Malah, kementerian itu turut mengesahkan tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan mana-mana Universiti Awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan komuniti berkenaan berdasarkan rekod semasa.

“Maklumat yang diperoleh menunjukkan Network School merupakan sebuah komuniti kediaman persendirian dan ruang kerja bersama (co-working space) yang menghimpunkan usahawan teknologi, pelabur serta penggiat syarikat pemula (startup), bukannya institusi pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Penjelasan KPT dibuat ketika operasi Network School terus menjadi perhatian susulan dakwaan terdapat warga Israel menyertai program di Forest City menggunakan pasport negara kedua.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang atau ancaman terhadap keselamatan negara.

Susulan itu, Jabatan Imigresen Malaysia telah melaksanakan operasi naziran di komuniti antarabangsa Forest City.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, dilaporkan mengesahkan pemeriksaan melibatkan 266 warga asing dari 40 negara bagi menyemak status serta pematuhan terhadap undang-undang imigresen.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti isu tersebut mengikut bidang kuasa masing-masing.

Kementerian turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan siasatan dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi penguat kuasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta menjaga integriti sistem pendidikan tinggi negara.

BBerkaitan

Latest articles