KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh terus menghangatkan polemik membabitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming apabila bertindak memuat naik surat peletakan jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka untuk dijadikan contoh kepada pemimpin DAP itu.
Menerusi hantaran di media sosial pada malam tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu secara sinis berkata, Kor Ming hanya perlu menukar nama, tarikh dan tempat sebelum menghantar surat peletakan jawatan sebagai menteri.
“Saya sertakan surat peletakan jawatan saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka bertarikh 19 Januari 2026 kepada Tuan Yang Terutama Negeri Melaka untuk dijadikan sumber rujukan.
“Kamu boleh ubah nama, tarikh dan tempat mengikut kesesuaian. Ayat-ayat lain kamu boleh tiru 100 peratus.
“Kalau surat pun kamu tidak berani tulis dan hantar, jangan sembanglah,” katanya.
Dr Akmal turut berkongsi salinan surat peletakan jawatan tersebut dalam hantaran berkenaan bagi menguatkan sindirannya terhadap Kor Ming.
Pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin itu tercetus susulan penjelasan Kor Ming bahawa kenyataan beliau sebelum ini mengenai peletakan jawatan telah disalah tafsir.
Menteri berkenaan menjelaskan beliau hanya akan melepaskan jawatan sekiranya Datuk Seri Najib Razak dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal walaupun telah disabitkan bersalah.
Kor Ming turut menegaskan pihak yang mendesaknya meletakkan jawatan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu merujuk kenyataan penuh beliau dalam wawancara eksklusif bersama Oriental Daily, bukannya petikan yang dipetik di luar konteks.
Untuk rekod, pada Januari lalu, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka atas alasan tanggungjawab, prinsip dan maruah serta selari dengan desakan akar umbi UMNO yang menolak kerjasama parti itu dengan DAP.
Langkah tersebut ketika itu disifatkan sebagai tindakan berprinsip yang mengutamakan perjuangan parti berbanding kedudukan dalam kerajaan.
Bagaimanapun, pada April lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan beliau menolak surat peletakan jawatan Dr Akmal bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut Ab Rauf, kuasa untuk menerima atau menolak peletakan jawatan seseorang Exco adalah hak Ketua Menteri.










