SEREMBAN: Pas mengesahkan sedang mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, dengan proses perbincangan disifatkan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, usaha ke arah kerjasama antara kedua-dua parti bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah bermula sejak usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini menerusi Akuan Bersumpah (SD).
Menurut beliau, usaha tersebut bagaimanapun gagal direalisasikan selepas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik balik sokongan mereka.
“Ketika itu BN tidak menarik diri. Itu menunjukkan memang sudah ada ruang untuk kita bekerjasama sejak awal lagi. Kini, bagi menghadapi PRN, rundingan masih berjalan dan setakat ini sangat positif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan, pada tadi.
Abdul Hadi berkata, Pas pada dasarnya bersetuju untuk membolehkan BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu, manakala Pas akan terus bertanding di tiga kerusi yang kini disandangnya.
Beliau menjelaskan, baki 17 kerusi lagi akan dimuktamadkan menerusi rundingan antara kedua-dua pihak sebelum pengumuman rasmi calon dibuat.
“BN sudah ada 14 kerusi, manakala kita mempunyai lima kerusi termasuk dua yang sebelum ini dimenangi Bersatu. Baki kerusi akan dibincangkan bersama.
“Tunggu pengumuman calon nanti. Kita juga menerima hakikat bahawa di Negeri Sembilan, BN merupakan parti yang dominan dan memimpin,” katanya.
Mengulas soal jawatan Menteri Besar sekiranya kerjasama itu berjaya membentuk kerajaan negeri, Abdul Hadi berkata, Pas tidak mempunyai halangan untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada BN.
Bagaimanapun, beliau menegaskan calon yang dipilih mestilah terdiri daripada pemimpin Melayu-Islam.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keputusan mengenai penggunaan lambang parti pada PRN kali ini masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, Pas masih meneliti sama ada akan menggunakan logo sendiri atau kekal menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
Untuk rekod, pada PRN Negeri Sembilan yang lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terdiri daripada 11 kerusi DAP, lima PKR dan satu Amanah.
BN pula memperoleh 14 kerusi, manakala PN memenangi lima kerusi menerusi Pas di DUN Bagan Pinang, Serting dan Paroi, selain Bersatu di DUN Gemas dan Labu.










