Bersatu Berdepan Krisis Keabsahan, Ronald Desak PN Segera Bermesyuarat

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, mempersoalkan keabsahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu susulan gelombang peletakan jawatan beberapa ahlinya, sekali gus menggesa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) segera bersidang bagi menilai kedudukan semasa BERSATU dalam gabungan tersebut.

Menurut beliau, kenyataan Presiden BERSATU bahawa kemelut dalaman parti akan diselesaikan secara dalaman masih gagal menjawab persoalan utama, iaitu sama ada MPT masih mempunyai korum yang mencukupi untuk bermesyuarat dan membuat keputusan mengikut Perlembagaan parti.

Ronald berkata, berdasarkan Fasal 13.12 Perlembagaan BERSATU, sesuatu mesyuarat MPT hanya sah sekiranya dihadiri lebih separuh daripada jumlah ahlinya.

Katanya, sekiranya syarat korum itu tidak lagi dipenuhi, setiap keputusan yang dibuat MPT berisiko dipersoalkan dari sudut keabsahan dan perundangan parti.

Beliau turut menyifatkan tindakan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi melepaskan jawatan sebagai petunjuk jelas bahawa Presiden BERSATU gagal menguruskan krisis dalaman sehingga hilang keyakinan dalam kalangan pemimpin tertinggi parti.

“Jika korum tidak lagi mencukupi, BERSATU berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran dan tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ronald, kemelut yang berlarutan bukan sahaja mencemarkan imej BERSATU, malah berpotensi memerlukan campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sekiranya isu itu gagal diselesaikan mengikut lunas parti.

Beliau berkata, situasi berkenaan juga dikhuatiri memberi kesan kepada kedudukan BERSATU dalam PN serta mengganggu perancangan strategik gabungan itu, khususnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Ronald menggesa Majlis Tertinggi PN mengadakan mesyuarat khas dalam kadar segera bagi menilai implikasi krisis berkenaan serta mempertimbangkan langkah yang perlu demi memastikan kestabilan, kredibiliti dan kesiapsiagaan gabungan tersebut terus terpelihara.

Beliau menegaskan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik perlu mengatasi kepentingan mana-mana individu, sambil mengingatkan bahawa krisis yang berpanjangan hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan itu untuk menawarkan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan berwibawa.

BBerkaitan

Latest articles